Monday, October 11, 2010

KONSEP DAN CIRI PEMBELAJARAN-pSScuH

Silat Cekak Hanafi ialah sejenis silat bela diri yang benar-benar asli, bukannya sejenis silat permainan atau Silat Olahraga.

Silat Cekak mempunyai kaedah-kaedah yang tetap dengan mempunyai buah-buah pukulan dan kunci-kunci tangkapan yang cukup dan kemas.

Pergerakan dan sistem silat ini adalah berasaskan gerak geri semulajadi manusia.

Silat Cekak Hanafi menunggu serangan dengan berdiri lurus( berdiri sembahyang ) dan tidak mengelak ke kiri dan ke kanan bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak, sebab sebenarnya hakikat Silat Cekak Hanafi ialah Silat Gerak.

Yang paling istimewa dan ganjil sekali di dalam kaedah serangannya; dikala ia menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya. Tambahan pula sambil menyerang ia dapat menangkap (Cekak menyerang, Cekak menangkap ).

Buah SelendangPenuntut-penuntut menangkis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja. Matlamat Silat Cekak Hanafi ialah menangkis pukulan senjata-senjata sambil dapat merampas senjata lawan.


Pelajarannya lebih menitikberatkan dari segi mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Silat Cekak Hanafi menyerang.


CIRI-CIRI PEMBELAJARAN
Silat Cekak Hanafi diajar secara berpakej dan diajar sehingga tamat. Dalam kaedah biasa, pakej sehingga tamat silat ini dapat disempurnakan di dalam tempoh 6 bulan. Tempoh ini boleh diselaraskan dengan keperluan sesuatu kelas seperti di sekolah- sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Selapas tamat, penuntut -penuntut boleh meningkatkan kemahiran secara bersendirian atau mengikuti kelas-kelas kemahiran yang diadakan dari masa ke semasa.


Sebagai silat yang berasaskan gerakan seni, maka ia tidak memerlu dan tidak menekankan keperluan kekuatan dan tenaga luar biasa untuk mengalahkan musuh.
Kaedah pembelajaran bersistematik dan tidak menerukkan diri dan membolehkan penuntut mempertahankan diri walaupun di tempat-tempat yang sempit seperti di atas papan sekeping.


PANTANG LARANG
1. Tidak menderhaka kepada Guru
2. Tidak menderhaka kepada Ibu
3. Tidak menderhaka kepada Bapa
4. Tidak bergaduh sesama ahli
5. Tidak mencaci silat melayu asli yang lain.

KAEDAH-KAEDAH

KAEDAH A
image
Kaedah A adalah diilhamkan daripada gerakan doa. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 11 buah iaitu :


* Buah Pertama
* Buah Kilas Belakang
* Buah Kidung Kiri
* Buah Hentak
* Buah Ali Patah Atas
* Buah Ali Patah Sudah Pecahan Pertama
* Buah Selendang
* Buah Paras
* Keputusan Pasong Kemanga
* Buah Luncur
* Buah Siku Potong


KAEDAH B
imageKaedah B adalah diilhamkan dari gerakan Qiam dalam sembahyang. Daripada kaedah Qiam ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 5 buah iaitu :


* Keputusan Gayung Fatani
* Keputusan Sendeng Atas
* Buah Kuntau Jatuh
* Buah Gari
* Buah Ali Patah Sudah Pecahan Kedua


KAEDAH C
image Kaedah C adalah diilhamkan dari gerakan rukuk dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 3 buah iaitu :


* Buah Kilas Hadapan
* Keputusan Terlak
* Keputusan Lintau


KAEDAH D
image Kaedah D adalah diilhamkan oleh gerakan takbiratul ihram dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 2 buah iaitu :


* Buah Kuntau Kiri
* Buah Hempok

SENJATA RASMI

PARANG LADING

lading2

Senjata rasminya sendiri iaitu Parang Lading; yang hanya terkenal di Negeri Kedah Darulaman.

Senjata ini digunakan oleh pengamal Silat Cekak Hanafi untuk menangkis segala jenis serangan tangan kosong atau bersenjata tajam.

Selalunya mereka yang mendapat anugerah Parang Lading ini adalah mereka yang telah bergiat aktif di dalam persatuan selama lebih dari 10 tahun.

Saiz dan rupa Parang Lading ini bergantung kepada si pemakainya kerana setiap pemakai mempunyai ukurannya tersendiri.

WALI JANTAN

walijantan

Wali Jantan merupakan satu lagi senjata yang digunakan dalam Silat Cekak selain Parang Lading.


Seperti juga Parang Lading, Wali Jantan beasal dari bumi Kedah Darulaman. Boleh dikatakan tiada negeri lain yang mempunyai senjata seperti ini.


Penggunaan Wali Jantan adalah berbeza dengan Parang Lading. Parang Lading digunakan khusus untuk mempertahankan diri manakala Wali Jantan pula boleh digunakan untuk menyerang dan juga bertahan.

Wali Jantan adalah merupakan salah satu anugerah Guru Utama kepada anak – anak muridnya. Tidak semua pengamal Silat Cekak mendapat senjata ini secara otomatik. Selalunya mereka yang mendapat senjata ini adalah mereka yang telah terlibat lebih 10 tahun dalam perjuangan Silat Cekak.

PANTUN SILAT CEKAK

Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan,
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Mensesuaikan dengan makna kemerdekaan.

Silat Cekak benar-benar asli,
Tidak bercampur hak luar negeri,
Hendaklah belajar bersungguh hati,
Untuk menjaga diri sendiri.

Silat Cekak tersangatlah mudah,
Bagi mereka yang mendapat hidayah,
Sungguhpun begitu hendaklah tabah,
Insya-Allah mendapat faedah.

Silat Cekak pada lahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah mahir seluruh anggota,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Taat ke guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.

Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasanya kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhirat kita masuk neraka.

Wajiblah menjaga diri sendiri,
Menerima amanah Tuhan Rabbi,
Supaya menjadi mukmin sejati,
Demi menegak Islam yang suci.

No comments:

Post a Comment